Khasiat Daging Arnab Yang Mungkin Anda Tidak Tahu – JiwaSihat.com
Daging arnab adalah salah satu makanan fungsian yang mempunyai satu atau lebih bahan aktif yang memberikan kesan kesihatan kepada tubuh badan secara klinikal. Khasiat daging arnab telah menjadikan daging ini turut mendapat permintaan tinggi di seluruh dunia.
Industri daging arnab sebenarnya telah bermula sejak tahun 1970-an lagi. China, Itali, Sepanyol dan Perancis adalah antara negara pengeluar terbesar daging arnab di dunia. Di Malaysia, daging arnab juga mendapat permintaan yang tinggi sehingga pembekal tempatan tidak mampu untuk memenuhi permintaan pasaran.
Terdapat beberapa jenis atau baka arnab yang sesuai untuk dijadikan arnab pedaging iaitu:
New Zealand White
New Simonare
Carolina
Calfornian
Sepanyol
Berbeza dengan arnab tempatan, arnab pedaging yang diimport ini boleh menghasilkan anak yang banyak dan berat akhirnya boleh dicapai dalam masa 2 bulan sahaja. Biasanya, arnab pedaging ini akan disembelih dan dijual apabila mencapai berat 2kg.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat yang boleh diperolehi daripada pemakanan daging arnab.
khasiat daging arnab
Berikut adalah khasiat daging arnab berdasarkan kajian yang telah dijalankan.
1. Mengandungi Protein yang Berkualiti
Daging arnab adalah kaya dengan protein. Malah, mengandungi protein yang lebih tinggi daripada daging lembu dan hampir sama dengan daging dada ayam.
Bagi 100 gram daging batang pinang arnab, terdapat kira-kira 22.4 gram protein. Iaitu kira-kira 36% daripada keperluan protein harian bagi orang dewasa di Malaysia.
Selain tinggi kandungan protein, daging arnab juga tinggi dengan paras asid amino perlu [1].
Asid amino perlu ialah sebatian organik yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik. Terdapat 9 jenis asid amino perlu yang harus diperolehi melalui makanan kerana badan tidak dapat menghasilkannya sendiri.
Selain itu juga, daging arnab adalah lebih rendah kandungan lemak jika dibandingkan dengan daging yang lain. Daging pejal atau daging batang pinang arnab hanya mengandungi kira-kira 1.8 gram lemak bagi setiap 100 gram daging tersebut.
2. Mengandungi Mineral dan Vitamin yang Baik untuk Badan
Daging arnab juga mempunyai mineral dan vitamin yang mempunyai pelbagai peranan dan fungsi untuk kesihatan badan. Kandungan mineral dan vitamin ini juga turut boleh dipengaruhi oleh makanan yang diberikan oleh arnab tersebut.
Berikut adalah senarai mineral dan vitamin yang terkandung dalam daging arnab.
Kalsium. Kalsium adalah mineral yang diperlukan oleh badan untuk mengekalkan kekuatan tulang dan untuk fungsi-fungsi badan yang lain.
Zat besi. Zat besi adalah antara mineral yang paling lazim berlaku kekurangan di seluruh dunia. Kekurangan zat besi ini boleh menyebabkan penyakit kekurangan darah atau anemia.
Selenium. Terdapat kira-kira 9.3 mikrogram hingga 23 mikrogram mineral selenium bagi 100 gram daging arnab yang berperanan penting dalam metabolisme dan fungsi tirioid. Mineral selenium juga turut bertindak sebagai antioksidan yang membantu melindungi sel-sel badan manusia daripada rosak.
Fosforus. Fosforus juga adalah mineral yang tinggi dalam daging arnab. Mineral ini berperanan penting dalam tumbesaran dan penyelenggaraan tisu-tisu badan.
Magnesium. Kekurangan mineral ini boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti penyakit jantung [2].
Kalium (potassium). Kalium adalah nutrien perlu yang penting untuk mengawal tekanan darah dan kesihatan jantung [3].
Zink. Zink adalah mineral yang penting untuk membolehkan sistem imun badan berfungsi dengan baik. Mineral ini juga turut terlibat dalam pertumbuhan sel-sel, penyembuhan luka dan pencernaan karbohidrat.
Tembaga. Tembaga adalah mineral yang bersama-sama dengan mineral zat besi membentuk sel darah merah. Mineral ini juga turut membantu penyerapan zat besi.
Vitamin dalam daging arnab terdiri daripada kumpulan vitamin B iaitu:
Vitamin B1: 0.1 miligram
Vitamin B2: 0.15 miligram
Vitamin B3: 7.3 miligram
Vitamin B5: 0.8 miligram
Vitamin B6: 0.5 miligram
Vitamin B9 (Folat): 8 mikrogram
Vitamin B12: 7.2 mikrogram
Kumpulan vitamin B atau vitamin B kompleks ini mempunyai impak langsung terhadap fungsi otak, metabolisme sel-sel dan paras tenaga.
3. Mengandungi Asid Lemak Politaktepu
Daging arnab juga mengandungi asid lemak politaktepu yang agak tinggi. Asid lemak politaktepu (PUFA) mempunyai banyak khasiat atau kebaikan kepada badan dan salah satu daripadanya adalah merendahkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL). Paras kolesterol LDL yang rendah boleh membantu mengurangkan risiko penyakit jantung [4].
DHA dan EPA adalah antara dua komponen rantaian panjang asid lemak politaktepu dalam daging ini. DHA dan EPA ini turut dikenali sebagai asid lemak Omega-3 yang telah terbukti mempunyai banyak khasiatnya.
Satu kajian semula yang diterbitkan pada tahun 2015 melaporkan bahawa asid lemak Omega-3 terutamanya EPA dan DHA boleh mengurangkan risiko kematian akibat daripada penyakit jantung [5].
Terdapat juga laporan daripada kajian semula yang dijalankan pada 2018 yang melaporkan bahawa asid lemak ini bermanfaat dalam mencegah dan merawat penyakit-penyakit seperti penyakit kardiovaskular, kanser, kencing manis, penyakit Alzheimer, kemurungan dan demensia [6].
4. Rendah Kandungan Kolesterol
Salah satu khasiat atau kebaikan daging arnab yang seterusnya adalah mengandungi kolesterol yang rendah jika dibandingkan dengan daging lain seperti daging lembu, daging ayam, daging anak lembu atau daging babi [1].
Walau bagaimanapun, kandungan kolesterol dalam daging arnab ini boleh dipengaruhi oleh pemakanan haiwan ini.
5. Baik untuk Mereka yang Berdiet
Daging arnab juga adalah pilihan yang baik untuk mereka yang berdiet terutamanya diet rendah karbohidrat seperti diet keto, diet paleo, diet Atkins dan diet untuk penyakit darah tinggi seperti diet DASH.
Kandungan protein yang tinggi bagi daging ini membolehkan makanan ini membekalkan tenaga yang agak tinggi iaitu sekitar 144 kcal hingga 214 kcal bagi setiap 100 gram daging ini.
Protein juga boleh membuatkan anda berasa kenyang lebih lama dan mengurangkan selera makan. Hal ini kerana protein boleh mengurangkan paras hormon lapar, ghrelin dan meningkatkan hormon kenyang, paptida YY [7, 8].
Satu kajian menunjukkan peningkatan pengambilan protein daripada 15% kepada 30% oleh wanita terlebih berat menyebabkan mereka makan kurang 441 kalori setiap hari tanpa mengawal pemakanan mereka [9].
Daging arnab juga rendah dengan kandungan natrium (garam). Ini membuatkan daging ini sesuai untuk mereka yang mengamalkan diet DASH.
Rumusan
Daging arnab adalah daging putih yang mempunyai khasiat yang tersendiri. Daging arnab terutamanya daging pejal atau daging batang pinang adalah tinggi dengan protein. Daging ini juga turut mengandungi mineral dan vitamin yang lain yang mempunyai fungsi tersendiri terhadap kesihatan tubuh badan.
Ini menjadikan daging arnab adalah satu pilihan yang baik buat mereka yang mengamalkan diet atau ingin mengamalkan pemakanan yang sihat.
Tambahan lagi, daging arnab juga turut mengandungi asid lemak politaktepu seperti Omega-3 yang mempunyai banyak khasiat kepada tubuh badan terutamanya untuk kesihatan jantung.
Rujukan : JiwaSihat.com
0 Ulasan
.
❤️ Terima Kasih Meninggalkan Pandangan Anda.